Photobucket

Monday, January 23, 2012

Di mana kan ku cari ganti...

Bismillahirohmanirrohim...Dengan nama Allah saya memulakan bicara kata pada hari ini. Tiada apa yang menarik, namun hati ini tergerak untuk bercerita tentang seseorang yang amat bermakna dan amat saya sayangi setelah Allah dan Rasul SAW dan juga parents saya. Siapa agaknya ya???

---------------------------------------------------------------------------


Arau...

     Menangis dalam tawa. Aku paksakan diri untuk pulang ke rumah yang beribu batu jaraknya hanya untuk menduduki peperiksaan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dua hari lagi. Pulang ke Kuala Kangsar supaya esoknya aku boleh bergerak ke Taiping untuk urusan tersebut. Rasanya aku tiada mood untuk menghadiri peperiksaan dan juga interview untuk jawatan Penolong Pegawai Farmasi yang ditawarkan...sebab, aku nak sambung belajar lagi after habis diploma. Hati menjerit sepi, namun demi memuaskan hati mereka, ku rentas jua tiga negeri itu, Perlis- Penang-Perak. Aku mencari hikmahnya supaya 'kerja gila' ini tidak menjadi satu perkara yang sia-sia. Penat je balik, tapi hati tak gembira dan tidak ikhlas pula.

     Keretapi meluncur laju. Lenaku tidak enak lantaran memikirkan sebuah hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah.

"Ah, takpela...ni baru nak interview, belum tentu dapat punye," hatiku berbicara sepi.

"Eh, kalau dapat pun takpe la kan? Mungkin itu rezeki aku? Who knows except Allah..." bicara itu bergema lagi di hati.

"Huh, biarlah nak jadi ape pun...yang aku tau, sebelum pegi interview, aku nak balik kampung jap...ziarah opah. Rindu giler kat opah, dah lame kot tak jumpe sejak pindah Chemor ni," hatiku berbunga harapan.

     Pukul satu pagi. Aku melebarkan pandangan ke luar keretapi yang gelap. Pemandangan hanya diserikan dengan cahaya lampu rumah dan lampu jalan di sepanjang perjalanan. Sesekali semak samun memenuhi pandangan. Papan tanda 'Padang Rengas' baru sahaja terlepas dari pandanganku. Maknanya, destinasi seterusnya adalah Kuala Kangsar, tempat tanah tumpah darahku. Lantas, jemariku laju menekan keypad handphone menghantar utusan message yang entah kali ke berapa...

Slm.lagi 15mnt sampai la.Yeop boleh la tunggu dah kat stesen k.api,k.

Sent.

     Aku buat miss call pula kat abang aku tu supaya dia elert dengan message aku tadi. Mata terus ku tahan daripada terpejam walaupun mengantuk tahap tak ingat. Lagi beberapa minit dah nak sampai ke destinasi. Tak pasal-pasal terlajak ke KL pulak sebab oversleep. Naya.


Kuala Kangsar...

     Cerobong keretapi berbunyi dan pengumuman dibuat menandakan bahawa keretapi akan berhenti di stesen hadapan dalam masa seminit sahaja lagi. Aku dan penumpang-penumpang yang akan turun di stesen ini sudah bersiap sedia menurunkan bagasi masing-masing daripada tempat barang di atas kepala dan berjalan menuju ke pintu gerabak. Terhuyung-hayang. Keretapi masih bergerak dan mataku terasa ingin pejam menahan kantuk. Tangan menggalas beg besar seolah-olah aku nak pulang selama-lamanya. Tangan serta bahu juga terasa sakit.

Dan keretapi berhenti akhirnya. 

"Alhamdulillah," ucapku perlahan.

     Mataku meliar mencari si dia, cewah. Mataku cepat menangkap susuk tubuh sasa abangku itu bersama isterinya yang telah sedia menanti di stesen tersebut. Ku dakap mereka dan mencium tangan yang banyak berjasa dalam hidupku ini. Anak kecil mereka lena dalam dakapan. Kukucup perlahan dahinya tanda cinta. Abah dan emak berada di Chemor. Aku akan pulang ke sana setelah selesai interview dua hari lagi.


     Kereta proton saga berwarna merah milik abangku bergerak terus pulang ke rumah mereka. Aku melabuhkan badan di atas katil empuk di dalam bilik hadapan. Terasa ingin terus tidur. Ku padamkan niat untuk menelefon emak untuk memaklumkan bahawa aku telah sampai ke rumah abang dengan selamat saat ini kerana takut mengganggu tidurnya. Sebelum tidur, hasratku cuma satu : Ingin menziarahi opah terlebih dahulu selepas pulang dari interview esok...


     Pukul 3.30 pagi. Aku dikejutkan oleh ketukan pintu bilik yang kuat dengan suara abangku memanggil dari luar. Aku terus membuka pintu bilik tanpa berfikir panjang.


"Nak apenye Yeop? Kakcik baru je nak tido ni...ngaco je..." aku membebel seperti memarahi anak kecil.


     Diam. Aku lihat abangku itu seperti terkesima dengan handphonenya tetap di tangan. Dia terus duduk di birai katil dan memanggilku duduk bersamanya. Lantas...


"Tadi mak telefon Yeop..." dia memulakan bicara. Ada satu keluhan berat pada ucapannya.


"Kamu jangan terkejut pulak..." sambungnya lagi.


"Hah, kenape nih? Suspen je bunyinye..." aku memotong. Tidak sabar.


"Hmm...mak cakap, opah dah meninggal dunia tengah-tengah pagi tadi. Yan yang bagitau mak...lepas tu......." abangku meneruskan kata-katanya.


      Aku dah tak mendengar apa bicara abangku yang seterusnya. Aku terasa berada di awang-awangan. Badan terasa lemah longlai...


"Innalillahiwainnailaihiroji'un...tak sempat...Allah........" aku mengucap panjang. Dan abangku terus keluar dari bilik setelah meredakan tangisku.


     Sekali lagi aku diuji. Hajatku tak kesampaian. Wajah arwah opah berlegar-legar dalam fikiranku. Aku tidak dapat tidur. Aku teringin nak bergurau dengan opah setelah pulang dari interiew esok. Habis pudar semangatku untuk meneruskannya.


"Kakcik tak nak pegi!" Kataku keras.


     Mak, abah, kakak dan abangku terus memujuk agar aku meneruskan interview terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung untuk menziarahi mayat opah yang sedang diuruskan oleh penduduk kampung. Apalah maknanya aku pergi interview tersebut sedangkan hatiku telah pulang ke kampung. Hatiku tidak gembira. Namun akhirnya aku pergi juga ke Taiping bersama adik bongsuku dengan menunggang skuter milik kakak iparku. Ketika itu aku  sudah pasrah andai apa pun yang akan terjadi terhadapku sepanjang perjalanan ke sana.


Taiping...
     
     Peperiksaan bertulis telah berlalu. Aku meminta izin kepada pihak pengurusan SPA saat itu untuk menjadi candidate pertama diinterview kerana ada kematian yang berlaku dalam keluargaku. Alhamdulillah, mereka mengizinkan. Aku menjawab ringkas pada setiap soalan yang mereka tujukan. Interview tersebut tamat tak sampai 5 minit pun...(ada kisahnya lagi)...


     Setelah itu, aku memecut laju dari Taiping ke Kuala Kangsar untuk pulang ke kampung. Aku ingin berjumpa dahulu dengan opah sebelum beliau dikebumikan. Airmata tidak berhenti mengalir sepanjang perjalanan. Namun, ku kuatkan semangat yang masih berbaki agar selamat tiba ke destinasi yang dituju.


Kampung Nyiur, Ketior...


     Motor yang aku tunggangi berhenti mengejut di perkarangan hadapan rumah opah yang telah dipenuhi oleh penduduk kampung dan sanak saudara. Tiada lagi rasa malu. Aku yang berbaju kurung dan bertudung labuh terus berlari ke dalam rumah. Airmata tidak dapat ku tahan lagi saat melihat wajah tenang opah dibaluti kain kafan. Terasa hendak gugur jantungku...Aku terus mencium wajah opah buat yang terakhir kalinya. Aku takkan dapat melihatnya lagi di dunia selepas ini. Ingin ku dengar suaranya memanggil namaku ketika itu  juga...


     Semua ahli keluargaku telah berada di rumah opah kecuali kakakku yang tinggal di Putrajaya, kerana dia masih dalam perjalanan. Orang kampung ingin mengebumikan mayat opah secepat mungkin kerana cuaca semakin panas. Akhirnya kami terpaksa bersetuju walaupun tanpa kehadiran kakakku itu. Kasihan dia kerana tidak dapat melihat arwah opah buat yang terakhir kalinya. Semasa dia dan suaminya sampai, talkin juga telah selesai dibacakan. Aku melihat dia memeluk emak dengan tangisan yang bukan dibuat-buat. Aku mengerti perasaannya kerana semasa kematian arwah atok beberapa tahun yang lepas, dia jugalah yang lewat hadir ke acara pengebumian kerana masalah pengangkutan juga. Pasti sangat sedih kerana kami adik-beradik sangat rapat dengan arwah opah dan atok sebelah  emak jika nak dibandingkan dengan keluarga sebelah abah.


Chemor...


    Aku termenung sepi. Dadaku terasa sebak. Masih terngiang-ngiang lagi cerita emak tentang arwah opah di saat-saat terakhir nyawanya. Ibu saudaraku, Yan, berada di sisi arwah ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Arwah sempat meminta agar Yan membaca Surah Yaasin sepertimana aku pernah membacakannya semasa arwah sedang sakit. Ketika itu aku membacakan surah Yaasin dengan terjemahannya sekali seolah-olah bercerita. Namun, aku hanya membacakan separuh sahaja kerana surah itu sangat panjang. Aku risau opah akan berasa penat untuk mendengarnya. Apa yang aku kesalkan ialah kerana aku pernah berjanji akan menghabiskan separuh lagi surah tersebut beserta terjemahannya jika aku pulang lagi selepas itu. Inilah harinya...namun, aku tidak dapat menunaikan janjiku itu. Malah, aku 'terpaksa' membacakan seluruh surah tersebut di hari kematian arwah opah yang amat ku cintai. Aku yakin apa yang arwah minta pada Yan sebenarnya datang daripada janji aku dahulu. Allah...........


[Sekadar gambar hiasan]
    Aku menangis lagi. Namun, siapalah aku untuk memberhentikan ajal yang telah ditetapkan untuk setiap anak Adam. Aku sayangkan opah, namun Allah lebih lebih lagi menyayangi hambaNya itu. Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Itulah ketetapan dan janji Allah buat hambaNya. Aku berdoa agar Allah merahmati arwah opah dan atok di alam sana. Moga matinya mereka dan aku kelak adalah dalam keadaan husnul khatimah.


---------------------------------------------------------------------------


     Sebuah hikmahnya telah aku temui...Jika aku tidak 'dipaksa' pulang untuk menghadiri peperiksaan SPA tersebut, barangkali aku juga tidak sempat menatap wajah arwah opah buat yang terakhir kalinya...Malah, aku menemui satu lagi hikmah yang ditunjukkan Allah buatku...Walaupun aku gagal dalam peperiksaan dan interview SPA tersebut, namun kerananya juga, aku berada di sini...menyambung pengajian di USM Penang. Alhamdulillah. Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

------------------------------------------------

Al-Fatihah buat arwah opah saya, Allahyarhamah Lamah Binti Itam Salleh, yang telah kembali ke Rahmatullah pada April 2009 yang lalu...Moga Allah menempatkan arwah dikalangan orang-orang yang  beriman, ameen.


Sitah sayang Opah :')


Tuesday, January 17, 2012

RAPUH - Opick

Lagu ini sudah biasa saya dengar. Namun entah mengapa tiba-tiba hati terasa gementar apabila mendengar semula lagu ini pada suatu ketika. Terasa diri ini sangat rapuh imannya...Astaghfirullah~ 

Mari dengarkan semula...

---------- ********** ---------- ********** ---------- ********** ----------


RAPUH - Opick


Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan


Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan airmata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku


Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu


Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
DiriMu yang bertakhta


Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu



---------- ********** ---------- ********** ---------- ********** ----------


   

Selagi ada...

     Petang tadi saya dok jalan sorang-sorang mengelilingi universiti tercinta. Kononnya menggantikan jogging dengan berjalan kaki sahaja. Saje tak ajak sahabat-sahabat yang lain join sebab memang saya nak jalan sorang-sorang. 

     Berjalan dari NIK, menuju ke Desasiswa Tekun untuk singgah solat asar. Bertemu pula dengan seorang sahabat di sana dan kami solat asar berjemaah bersama. Kemudian saya teruskan perjalanan ke 'Fish House' untuk bertemu dan memberi makan kepada 'anak-anak' tercinta. Kesian, deme lapo tu...Setelah itu saya berjalan lagi menuju ke dalam kampus tanpa arah (memang takde arah tuju, cuma nak jalan-jalan je) dengan ditemani oleh lagu-lagu nasyid pelbagai dari corong handphone murah saya ni.


[Begitu indah alam ciptaan Tuhan...SUBHANALLAH]
     Akhirnya saya masuk juga ke 'kawasan larangan' (definisi saya sendiri) iaitu 'Tasik Biawak' yang didefinisikan oleh semua warga USM Penang sebab banyaknya biawak dalam tasik tersebut. Pusing-pusing area tasik harapan dan aman...then terus naik ke kawasan Masjid USM untuk mendaki sehingga ke Canselori, tapi saya tak naik la ke atas tu...Saya terus turun ke padang Minden, jenguk-jenguk kawasan memanah saya dulu. Erm, sangat seronok memanah ni...Mendaki semula ke atas dengan nafas yang tercungap-cungap merentasi Kompleks Kolam Renang USM menuju ke bangunan BHEPP yang lama. 

     Kemudian, berlalulah 2 orang perempuan melayu bertudung menunggang basikal melintasi saya. Dah lama saya tak naik basikal...Tiba-tiba saya ternampak 2 buah basikal tersadai di tepi hujung bukit. Saya bayangkan 2 orang perempuan yang menunggang basikal tadi berhenti singgah di situ untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Rupa-rupanya orang lain daaa...sepasang kekasih yang memadu asmara di sebalik kawasan bervoltan tinggi (ada harapan kena renjatan elektrik gamaknya tu)...Terkesima. Namun, sedikit lega sebab itu ha, 2 orang chinese lorrr...Kalau melayu Islam tadi, maunye saya 'bertegur sapa' dan join diorang kat situ jap...huhu. 

     Penat berjalan, saya turun terus menuju ke tasik tadi merentasi bangunan HBP (School of House, Building & Planning), PHS II (Perpustakaan Hamzah Sendut II) dan Masjid USM dengan jayanya. Setibanya di tasik, kali ni saya dikejutkan dengan jeritan pemain-pemain 'profesional' bola tampar yang bersorak dengan corak permainan masing-masing. Aneh, lelaki dan perempuan main bola tampar sama-sama. Mudah-mudahan diorang tampar bola je la kan...

     Saya pusing lagi tasik tu, terasa mata ni 'sakit' pulak...Mana taknya, lebih ramai couple yang 'study' sama-sama kat tepi tasik tu...Aduh, camne nak buat yer??? Lemahnya iman, saya hanya mampu menegur dan menyampah dalam hati. Bukan menyampah dengan orang tersebut, tapi menyampah dengan perbuatan mereka. Moga mereka sedar dan insaf...

[Tasik Biawak]
     Akhirnya kaki melangkah longlai pulang ke NIK kerana penat yang teramat setelah mengelilingi tempat saya menuntut ilmu dan sekaligus menjadi pemerhati gelagat manusia. Sesampainya saya di bawah bangunan NIK, ternampak anak-anak jiran saya bermain badminton. Maka, dalam kepenatan itu sempat pula saya jadi referee budak-budak tu main badminton. Tau je la budak-budak main kan...kelakar habis...haha. Pastu, sempat pulak saya main badminton jap dengan diorang walaupun asyik nak gelak je...Seronok sangat diorang dapat main dengan 'Kak Mas'. Siap booking lagi untuk main badminton dengan diorang esok petang. Haha, ape2 je la. Saya ok jer~

     Sisa-sisa penat fizikal dan mental sudah berkurang di saat saya meluahkan semuanya di sini. Semuanya atas kehendak Allah. Namun, apabila terkenang kembali gelagat warga USM sahaja, saya sudah letih. Bagaimana agaknya realiti masyarakat di luar sana dan juga di institusi-institusi pengajian tinggi yang lain yer??? Bukan hendak merosakkan imej USM kerana saya juga sayangkan unversiti saya ini, namun kita perlu ingat dan sedar, bahawa Allah tidak sekali-kali kisah dengan status kita atau di mana tempat kita belajar dulu, pegang jawatan tinggi ke tidak semasa hayat kita sebagai syarat untuk masuk syurgaNya yang mulia, namun Dia melihat sejauh mana kita mempraktikkan Islam dalam kehidupan seharian kita. Allah...saya juga insan yang terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat dengan atau tanpa sedar. 


     Bersama-samalah kita bertaubat dan memperbaiki hidup kita, selagi hayat dikandung badan, selagi kita masih sedar, selagi kita masih waras, selagi nyawa masih di kerongkongan, selagi matahari tidak terbit dari barat...Wallahua'lam~




Apa yang dijanjikan tahun 2012???

3P : Perak-Perlis-Penang

[Sebahagian Warga NIK]
     Tahun baru menjengah kembali. Dah masuk tahun 2012, cepatnya masa berlalu. Tup...tup...dah 2 tahun setengah saya menjadi pelajar USM, dan selama itu jugalah saya menjadi ahli NIK tegar, alhamdulillah. Emm, tinggal 1 sem je lagi saya nak tamat pengajian ijazah di sini...insyaAllah. Hati terasa sangat sayang dengan tempat ini sedangkan dahulunya saya tak teringin langsung menjadi 'warga' Penang apabila mengenangkan jalan raya yang sibuk dan pemandunya yang 'berhemah tinggi'... Apatah lagi setelah saya menjadi 'warga' Perlis selama 3 tahun setengah. Susah payah menghabiskan pengajian diploma selama 3 tahun di UiTM Arau ditambah dengan bekerja selama setengah tahun di sana. Di Perlis, saya menjadi ahli IKA tegar bersama beberapa orang sahabat yang silih berganti. Namun, memori indah di IKA takkan pernah saya lupakan walaupun saya berada di NIK saat ini, biiznillah. Namun, saya tetap anak jati Kuala Kangsar, Perak...hehe (^_^).

[Acclimatization session]
FYP : Final Year Project

Tahun ini saya masih meneruskan 'projek anak ikan' saya. Setelah melalui saat-saat genting kematian anak-anak ikan yang tersayang, kini saya boleh menarik sedikit nafas lega kerana kadar mortality mereka telah menjadi 0%. Ikan patin......memang susah nak jaga. Apatah lagi penjaganya adalah saya, yang sedikit ilmunya untuk merawat mereka jika mengalami diseases and fungus infection. Jenuh la jugak saya menyelidik punca penyakit mereka dan mencari ubat-ubat yang berkaitan. Memang kesian anak-anak ikan tu sebab dapat 'mama' macam saya. Rupa-rupanya kadar stress mereka yang tinggi kerana perjalanan jauh (travel dari Taiping ke Penang) dan juga tahap keasidan air yang menyebabkan mereka ditimpa penyakit yang 'menggelikan'...hehe. Sebenarnya fungus infection je...tapi, geli beno menengoknye + kesian + sedih sebab semuanya berlaku terlalu pantas di depan mata saya...siap buat kuak lentang lagi (tanda-tanda ajal kian menjelang) + tercungap-cungap (tak cukup oksigen kot) + terapung kerana akhirnya mati jua...huuuu :'( 

      Ok, kita lupakan the bad story about them sebab sekarang ni mereka semua sihat walafiat, alhamdulillah. Saya dan partner projek ni dah buat water quality checking dan dah buat treatment pada air dalam all tanks. Tapi tu la, dalam 700 ekor tu, yang tinggal dalam 450 ekor je...sabo je le ~

[30 buah akuarium dah standby for the next step...]
      Sekarang ni, eksperimen sebenar masih belum berjalan sebab makanan ikan yang akan saya uji tersebut dalam proses pembikinan. Ditambah pula sekarang ni final exam week, nak defat fish meal  lagi berkilo-kilo... dan mesin nak buat pellet tu rosak pulak dah...sabo lagi sekali ~


     So, sekarang saya teruskan proses men'defat' fish meal, then terus buat proximate analysis sekali lagi...pastu baru buat pellet dia...fuh~~~

Azam  VS Matlamat

     Sebenarnya, azam saya....RAHSIA...hehe. Matlamat saya nak menggapai redha Ilahi dalam setiap apa yang saya lakukan. Kenapa azam dirahsiakan, tapi matlamat dizahirkan? Saya pernah dengar satu perkongsian daripada seseorang dalam rancangan 'Apa Kata Wanita' yang dihoskan oleh Zamzarina (macam promote rancangan TV pulak yer), dia kata azam ni selalunya tak menjadi sebab ia 'sekadar' azam. Tapi, 'matlamat' adalah lebih tepat untuk membuahkan kejayaan. Bila kita ada matlamat (apa yang nak dicapai), kita akan usaha lebih untuk mencari dan menyusuri jalan-jalan mencapai matlamat tersebut.

     Bukankah Allah telah berfirman di dalam kalamnya yang mulia pada Surah Al-Ankabut ; 29, ayat terakhir iaitu 69, yang bermaksud;

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."

[Allah tunjuk jalan untuk kita memilih...]
     Tak tau la, saya tak pandai nak explain. Tapi, begitulah yang saya faham. Tetapkan matlamat kita yang sebenarnya, kemudian carilah wasilah (jalan-jalan) untuk mencapai matlamat tersebut. Jangan bertangguh lagi, dan lawanlah nafsu buruk kita yang membujuk jiwa dan hati ke arah kemungkaran dan kemalasan.

Mujahadah itu PAHIT, kerana syurga itu MANIS (n_n)


Sunday, January 15, 2012

Cekodok pilihan...

“Mak buat ape tu, goreng cekodok malam-malam ni?” tanyaku pelik.

“Macam tu la seorang mak yang sanggup buat ape saje untuk anak dia…Anak pulak camne agaknye yer?”

     Aku terkesima saat mendengar omelan emak…Ada benarnya kata-kata emak itu. Seorang ibu sanggup buat apa sahaja asalkan anak-anaknya gembira dan bahagia. Biarlah dia seorang sahaja yang merasai sukarnya menanggung anak-anak yang sedang membesar terutamanya orang macam aku ni. Banyak songeh la katakan...

     Emak terus menggoreng cekodok atas permintaan adik aku. Aku pulak tak menguit sedikit pun untuk  menolong...ya, mungkin juga terpanah dengan kata-kata si ibu yang penyayang itu. Aku berfikir dan terus berfikir...tak tahu apa yang difikirkan.

     Adik terus makan cekodok dengan penuh berselera. Erm, mimpi apa la adik aku ni sampai nak makan cekodok malam-malam ni. Tadi baru je buka puasa, takkan la masih lapar lagi...sengaja nak bermanja-manja dengan emak la tu. Yelah, kami ni jarang-jarang dapat bermanja dengan emak sebab masing-masing belajar di universiti yang jauh dari emak. Adik di Perlis, seorang lagi di Ipoh, aku di Penang dan emak di Putrajaya. Sekarang ni cuti semester, baru la kami dapat berjumpa dengan emak. Sejak abah meninggal dunia, beginilah hidup kami...Kalau rindu pada emak dan nak berjumpa juga, nampaknya kena ke Putrajayalah kami. Emak tinggal dengan kakak sekaligus menjadi pengasuh cucu bongsu emak yang baru berusia 8 bulan. Alhamdulillah, Allah masih mempermudahkan urusan kami setakat ini. Moga Allah meluaskan rezeki kakak aku sekeluarga atas pengorbanannya terhadap emak.

     Tak lupa juga kepada abang aku sekeluarga yang kini menggalas beban sebagai ketua keluarga kami sebagai pengganti arwah abah. Allah mengujinya apabila anak bongsunya sakit dan terpaksa dibedah. Lebih daripada RM2K terpaksa dikorbankan. Pasti dia merasai betapa peritnya menyara anak-anak sepertimana arwah abah dan emak juga. Moga Allah memberinya kesabaran yang banyak dalam menempuhi dugaan Allah yang hanya sedikit ini.

     Teringat pula aku kepada abang aku yang jauh itu...aku siap kena marah lagi saat aku menolak tawaran UiTM untuk sambung degree di sana sebab katanya dia boleh 'support' yuran aku...tak sangka, penyayang jugak abang aku yang pada zahirnya nampak kasar...Dalam takde duit tu masih juga nak membantu kami adik-adiknya walaupun sedikit cuma...Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari...Moga Allah mempermudahkan urusannya sebagaimana dia memudahkan urusan orang lain. Alhamdulillah, kini rezeki aku untuk sambung belajar di USM Penang (kali ni memang tak tolak dah tawaran sebab dah kena sound siap-siap dengan abang...hehe).

     Beginilah sketsa kehidupan seorang insan yang bernama Masitah. Aku belum diuji dengan ujian yang sangat berat sehingga aku terduduk dan menangis sepertimana arwah abah dan emak dahulu. Aku yakin, arwah abah dan emak pasti pernah merasai keperitan yang lebih hebat daripada aku. Ujian yang besar pasti pernah singgah dalam kehidupan mereka. Mengingatkan itu, aku jadi kagum. Kagum dengan ketabahan mereka. Allah pasti melimpahkan kesabaran yang sangat besar kepada mereka dalam menempuhi segala-galanya. Moga Allah mengurniakan aku kesabaran yang lebih hebat dalam menempuhi dunia yang sangat mencabar saat ini dimana jahiliyah moden sangat berleluasa, jahiliyah yang lebih hebat berbanding jahiliyah di zaman Rasulullah SAW.

     Ya Allah, ampunilah aku, kedua orang tuaku, adik-beradikku, sanak saudaraku, guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Letakkanlah dunia hanya di tangan kami, bukannya di hati kami supaya kami tidak menyintainya dengan sangat...Perkenankanlah doa hambaMu ini ya Allah.

"Kamu buat ape tu Kakcik?" sapa emak.

"Takde mende mak, saje je menaip-naip..." jawabku spontan.

     Lamunan aku terhenti saat mendengar laungan ibu yang kucintai itu. Aku segera menutup laptop dan berlalu ke birai katil usang emak. Emak kelihatan sangat letih...Rambut emak yang tinggal sedikit itu ku usap perlahan...sangat sedikit rambut emak yang berwarna putih, yang lain masih berwarna hitam...Emak cakap, jangan dicabut uban tu sebab ia adalah bunga-bunga syurga...Aku ketawa sendiri saat itu...gembira dan bersyukur kerana Allah mengurniakan aku seorang ibu yang sangat penyayang dan penyabar. 

Hargailah kedua orang tua kita selagi mereka masih ada...

Kakcik sayang emak :')

[Permata Hatiku]

[Cerpen ringkas ini ku tulis pada 20 Disember 2010 yang lalu (tapi yang ni ada edit sikit...). Ku susuri kembali kisah benar yang terjadi anatara aku dan ibuku yang tercinta pada suatu masa dahulu, lantaran kerinduan yang teramat sangat terhadapnya. Moga ada manfaatnya buat semua, insyaAllah]

~Cekodok je pun...tapi, begitulah...sangat rindu dengan cekodok emak~