Photobucket

Monday, January 23, 2012

Di mana kan ku cari ganti...

Bismillahirohmanirrohim...Dengan nama Allah saya memulakan bicara kata pada hari ini. Tiada apa yang menarik, namun hati ini tergerak untuk bercerita tentang seseorang yang amat bermakna dan amat saya sayangi setelah Allah dan Rasul SAW dan juga parents saya. Siapa agaknya ya???

---------------------------------------------------------------------------


Arau...

     Menangis dalam tawa. Aku paksakan diri untuk pulang ke rumah yang beribu batu jaraknya hanya untuk menduduki peperiksaan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dua hari lagi. Pulang ke Kuala Kangsar supaya esoknya aku boleh bergerak ke Taiping untuk urusan tersebut. Rasanya aku tiada mood untuk menghadiri peperiksaan dan juga interview untuk jawatan Penolong Pegawai Farmasi yang ditawarkan...sebab, aku nak sambung belajar lagi after habis diploma. Hati menjerit sepi, namun demi memuaskan hati mereka, ku rentas jua tiga negeri itu, Perlis- Penang-Perak. Aku mencari hikmahnya supaya 'kerja gila' ini tidak menjadi satu perkara yang sia-sia. Penat je balik, tapi hati tak gembira dan tidak ikhlas pula.

     Keretapi meluncur laju. Lenaku tidak enak lantaran memikirkan sebuah hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah.

"Ah, takpela...ni baru nak interview, belum tentu dapat punye," hatiku berbicara sepi.

"Eh, kalau dapat pun takpe la kan? Mungkin itu rezeki aku? Who knows except Allah..." bicara itu bergema lagi di hati.

"Huh, biarlah nak jadi ape pun...yang aku tau, sebelum pegi interview, aku nak balik kampung jap...ziarah opah. Rindu giler kat opah, dah lame kot tak jumpe sejak pindah Chemor ni," hatiku berbunga harapan.

     Pukul satu pagi. Aku melebarkan pandangan ke luar keretapi yang gelap. Pemandangan hanya diserikan dengan cahaya lampu rumah dan lampu jalan di sepanjang perjalanan. Sesekali semak samun memenuhi pandangan. Papan tanda 'Padang Rengas' baru sahaja terlepas dari pandanganku. Maknanya, destinasi seterusnya adalah Kuala Kangsar, tempat tanah tumpah darahku. Lantas, jemariku laju menekan keypad handphone menghantar utusan message yang entah kali ke berapa...

Slm.lagi 15mnt sampai la.Yeop boleh la tunggu dah kat stesen k.api,k.

Sent.

     Aku buat miss call pula kat abang aku tu supaya dia elert dengan message aku tadi. Mata terus ku tahan daripada terpejam walaupun mengantuk tahap tak ingat. Lagi beberapa minit dah nak sampai ke destinasi. Tak pasal-pasal terlajak ke KL pulak sebab oversleep. Naya.


Kuala Kangsar...

     Cerobong keretapi berbunyi dan pengumuman dibuat menandakan bahawa keretapi akan berhenti di stesen hadapan dalam masa seminit sahaja lagi. Aku dan penumpang-penumpang yang akan turun di stesen ini sudah bersiap sedia menurunkan bagasi masing-masing daripada tempat barang di atas kepala dan berjalan menuju ke pintu gerabak. Terhuyung-hayang. Keretapi masih bergerak dan mataku terasa ingin pejam menahan kantuk. Tangan menggalas beg besar seolah-olah aku nak pulang selama-lamanya. Tangan serta bahu juga terasa sakit.

Dan keretapi berhenti akhirnya. 

"Alhamdulillah," ucapku perlahan.

     Mataku meliar mencari si dia, cewah. Mataku cepat menangkap susuk tubuh sasa abangku itu bersama isterinya yang telah sedia menanti di stesen tersebut. Ku dakap mereka dan mencium tangan yang banyak berjasa dalam hidupku ini. Anak kecil mereka lena dalam dakapan. Kukucup perlahan dahinya tanda cinta. Abah dan emak berada di Chemor. Aku akan pulang ke sana setelah selesai interview dua hari lagi.


     Kereta proton saga berwarna merah milik abangku bergerak terus pulang ke rumah mereka. Aku melabuhkan badan di atas katil empuk di dalam bilik hadapan. Terasa ingin terus tidur. Ku padamkan niat untuk menelefon emak untuk memaklumkan bahawa aku telah sampai ke rumah abang dengan selamat saat ini kerana takut mengganggu tidurnya. Sebelum tidur, hasratku cuma satu : Ingin menziarahi opah terlebih dahulu selepas pulang dari interview esok...


     Pukul 3.30 pagi. Aku dikejutkan oleh ketukan pintu bilik yang kuat dengan suara abangku memanggil dari luar. Aku terus membuka pintu bilik tanpa berfikir panjang.


"Nak apenye Yeop? Kakcik baru je nak tido ni...ngaco je..." aku membebel seperti memarahi anak kecil.


     Diam. Aku lihat abangku itu seperti terkesima dengan handphonenya tetap di tangan. Dia terus duduk di birai katil dan memanggilku duduk bersamanya. Lantas...


"Tadi mak telefon Yeop..." dia memulakan bicara. Ada satu keluhan berat pada ucapannya.


"Kamu jangan terkejut pulak..." sambungnya lagi.


"Hah, kenape nih? Suspen je bunyinye..." aku memotong. Tidak sabar.


"Hmm...mak cakap, opah dah meninggal dunia tengah-tengah pagi tadi. Yan yang bagitau mak...lepas tu......." abangku meneruskan kata-katanya.


      Aku dah tak mendengar apa bicara abangku yang seterusnya. Aku terasa berada di awang-awangan. Badan terasa lemah longlai...


"Innalillahiwainnailaihiroji'un...tak sempat...Allah........" aku mengucap panjang. Dan abangku terus keluar dari bilik setelah meredakan tangisku.


     Sekali lagi aku diuji. Hajatku tak kesampaian. Wajah arwah opah berlegar-legar dalam fikiranku. Aku tidak dapat tidur. Aku teringin nak bergurau dengan opah setelah pulang dari interiew esok. Habis pudar semangatku untuk meneruskannya.


"Kakcik tak nak pegi!" Kataku keras.


     Mak, abah, kakak dan abangku terus memujuk agar aku meneruskan interview terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung untuk menziarahi mayat opah yang sedang diuruskan oleh penduduk kampung. Apalah maknanya aku pergi interview tersebut sedangkan hatiku telah pulang ke kampung. Hatiku tidak gembira. Namun akhirnya aku pergi juga ke Taiping bersama adik bongsuku dengan menunggang skuter milik kakak iparku. Ketika itu aku  sudah pasrah andai apa pun yang akan terjadi terhadapku sepanjang perjalanan ke sana.


Taiping...
     
     Peperiksaan bertulis telah berlalu. Aku meminta izin kepada pihak pengurusan SPA saat itu untuk menjadi candidate pertama diinterview kerana ada kematian yang berlaku dalam keluargaku. Alhamdulillah, mereka mengizinkan. Aku menjawab ringkas pada setiap soalan yang mereka tujukan. Interview tersebut tamat tak sampai 5 minit pun...(ada kisahnya lagi)...


     Setelah itu, aku memecut laju dari Taiping ke Kuala Kangsar untuk pulang ke kampung. Aku ingin berjumpa dahulu dengan opah sebelum beliau dikebumikan. Airmata tidak berhenti mengalir sepanjang perjalanan. Namun, ku kuatkan semangat yang masih berbaki agar selamat tiba ke destinasi yang dituju.


Kampung Nyiur, Ketior...


     Motor yang aku tunggangi berhenti mengejut di perkarangan hadapan rumah opah yang telah dipenuhi oleh penduduk kampung dan sanak saudara. Tiada lagi rasa malu. Aku yang berbaju kurung dan bertudung labuh terus berlari ke dalam rumah. Airmata tidak dapat ku tahan lagi saat melihat wajah tenang opah dibaluti kain kafan. Terasa hendak gugur jantungku...Aku terus mencium wajah opah buat yang terakhir kalinya. Aku takkan dapat melihatnya lagi di dunia selepas ini. Ingin ku dengar suaranya memanggil namaku ketika itu  juga...


     Semua ahli keluargaku telah berada di rumah opah kecuali kakakku yang tinggal di Putrajaya, kerana dia masih dalam perjalanan. Orang kampung ingin mengebumikan mayat opah secepat mungkin kerana cuaca semakin panas. Akhirnya kami terpaksa bersetuju walaupun tanpa kehadiran kakakku itu. Kasihan dia kerana tidak dapat melihat arwah opah buat yang terakhir kalinya. Semasa dia dan suaminya sampai, talkin juga telah selesai dibacakan. Aku melihat dia memeluk emak dengan tangisan yang bukan dibuat-buat. Aku mengerti perasaannya kerana semasa kematian arwah atok beberapa tahun yang lepas, dia jugalah yang lewat hadir ke acara pengebumian kerana masalah pengangkutan juga. Pasti sangat sedih kerana kami adik-beradik sangat rapat dengan arwah opah dan atok sebelah  emak jika nak dibandingkan dengan keluarga sebelah abah.


Chemor...


    Aku termenung sepi. Dadaku terasa sebak. Masih terngiang-ngiang lagi cerita emak tentang arwah opah di saat-saat terakhir nyawanya. Ibu saudaraku, Yan, berada di sisi arwah ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Arwah sempat meminta agar Yan membaca Surah Yaasin sepertimana aku pernah membacakannya semasa arwah sedang sakit. Ketika itu aku membacakan surah Yaasin dengan terjemahannya sekali seolah-olah bercerita. Namun, aku hanya membacakan separuh sahaja kerana surah itu sangat panjang. Aku risau opah akan berasa penat untuk mendengarnya. Apa yang aku kesalkan ialah kerana aku pernah berjanji akan menghabiskan separuh lagi surah tersebut beserta terjemahannya jika aku pulang lagi selepas itu. Inilah harinya...namun, aku tidak dapat menunaikan janjiku itu. Malah, aku 'terpaksa' membacakan seluruh surah tersebut di hari kematian arwah opah yang amat ku cintai. Aku yakin apa yang arwah minta pada Yan sebenarnya datang daripada janji aku dahulu. Allah...........


[Sekadar gambar hiasan]
    Aku menangis lagi. Namun, siapalah aku untuk memberhentikan ajal yang telah ditetapkan untuk setiap anak Adam. Aku sayangkan opah, namun Allah lebih lebih lagi menyayangi hambaNya itu. Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Itulah ketetapan dan janji Allah buat hambaNya. Aku berdoa agar Allah merahmati arwah opah dan atok di alam sana. Moga matinya mereka dan aku kelak adalah dalam keadaan husnul khatimah.


---------------------------------------------------------------------------


     Sebuah hikmahnya telah aku temui...Jika aku tidak 'dipaksa' pulang untuk menghadiri peperiksaan SPA tersebut, barangkali aku juga tidak sempat menatap wajah arwah opah buat yang terakhir kalinya...Malah, aku menemui satu lagi hikmah yang ditunjukkan Allah buatku...Walaupun aku gagal dalam peperiksaan dan interview SPA tersebut, namun kerananya juga, aku berada di sini...menyambung pengajian di USM Penang. Alhamdulillah. Allah Maha Tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

------------------------------------------------

Al-Fatihah buat arwah opah saya, Allahyarhamah Lamah Binti Itam Salleh, yang telah kembali ke Rahmatullah pada April 2009 yang lalu...Moga Allah menempatkan arwah dikalangan orang-orang yang  beriman, ameen.


Sitah sayang Opah :')


No comments:

Post a Comment