Hidup tidak selalunya indah,
Langit tak selalu cerah,
Suram malam tak berbintang,
Itulah lukisan alam,
Begitu aturan Tuhan...
Dikongsikan sebahagian lirik lagu nasyid 'Lukisan Alam' dendangan kumpulan Hijjaz.
Erm, apabila kita menghayati setiap bait-bait lirik lagu di atas, pasti kita boleh mengagak apakah yang hendak disampaikan oleh penyanyi nasyid tersebut kepada kita, para pendengarnya...
Kadang-kadang kita merasakan sesuatu perkara itu adalah yang terbaik bagi kita. Kita sering merasakan begitu kerana kita bahagia dengan apa yang telah berjaya kita kecapi. Benarkah begitu?
Kadang-kadang apa yang kita rasakan baik bagi kita, adalah buruk bagi Allah. Dan apa yang kita rasakan buruk bagi kita, adalah baik bagi Allah. Kenapa begitu?
Kerana, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Allah sering memberikan apa yang kita perlu, bukan apa yang kita nak kerana kadang-kadang apa yang kita nak adalah sesuatu yang kita tidak perlukannya.
"...boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
[Surah Al-Baqarah; 2: 216]
Pencipta kapal terbang, adik beradik Wright pasti tahu apa yang baik dan apa yang buruk dengan kapal terbang ciptaan mereka kerana ia adalah hasil rekaan mereka. Begitu juga Allah, Sang pencipta manusia dan alam seluruhnya...Dia pasti tahu apa yang baik dan apa yang buruk pada/buat hasil ciptaanNya. Mustahil Dia tidak mengetahuinya...
Maka kawan-kawan, positiflah saat ujian yang berat menimpa kita. Walaupun time ditimpa ujian yang berat, semuanya kita anggap musibah yang membebankan dan menyakitkan, bukan lagi ujian sebagai tarbiyah dari Allah. Ubahlah pemikiran kita itu. Ciptalah fikiran yang positif, kerana berfikiran positif itu adalah separuh daripada kejayaan. Kita hanya tinggal separuh sahaja lagi usaha untuk merealisasikan kejayaan tersebut.
Sahabat...
Kadang-kadang ujian itu sangat menyakitkan. Kita selalu mengatakan;
"Mengapa aku yang dipilih untuk menghadapinya?"
"Kenapa bukan orang lain yang diuji sebegini?"
"Tidak adakah sinar bahagia buat aku sehingga aku perlu diuji sedemikian rupa?"
Banyak sangat persoalan yang kita ajukan kepada 'pemberi' ujian (iaitu Allah) seolah-olah dia tidak berhak diuji sedemikian rupa, dan dia hanya boleh mendapat nikmat dan kebahagiaan sahaja. Ujian tu adalah untuk 'orang lain'...Kesakitan itu bukan untuk kita, tapi buat mereka yang lain. Wajar sahaja untuk kita menangis kerana beratnya ujian tersebut, namun kita mampu untuk berfikir positif iaitu memikirkan bahawa setiap yang terjadi itu pasti ada hikmah yang Allah nak tunjuk kepada kita.
Begitulah...
Hidup ini tidak selalunya indah...kerana yang indah itu lebih bisa merosakkan seseorang dan melalaikan kerana manusia itu mudah lupa dan kurang bersyukur. Maka, di saat keindahan itu dikurangkan, muhasabahlah diri sendiri bahawa ia adalah sebagai teguran kasih sayang daripada Allah yang Maha Pengasih terhadap diri kita.
Bersyukurlah kita dipilihNya untuk diuji kerana ia menunjukkan masih ada saki baki iman di dalam diri kita untuk digilap semula.
![]() |
| [Positive Ant...huhu] |
Saya bukanlah orang yang terbaik untuk berkata tentang positive thinking, namun saya juga sedang berusaha menjadikan fikiran saya positif dalam menghadapi setiap ujian yang diberikanNya, insyaAllah. Mohon doa para sahabat juga agar saya juga bisa redho dengan ujian yang menimpa dan terus bersemangat mengharungi hari-hari yang mendatang. Sesungguhnya saya hanyalah insan lemah yang masih belajar mengenali dan mencintai Sang Khaliq dengan sepenuh jiwa dan raga saya.
"Ya Allah, redhoilah aku...hambaMu yang hina ini, ameen Ya Rabb."
















