Aku menangis sendiri. Terasa sangat sakit kepalaku ini. Sakit seluruhnya…Tadi, aku masih boleh bertahan agar tak menangis di khalayak. Puas aku menangis di dalam bilik air berseorangan…namun, kesakitan ini tidak dapat ku tanggung sendiri. Lagi pula, aku ada hal penting malam ni untuk diselesaikan. Tangisku sirna saat Ain melihatku terhinjut-hinjut dalam bilik yang gelap dengan tangis yang ditahan-tahan.
Ain: Eh, kenapa ni Mas?
Aku: ……
Ain: Jangan la menangis, kenapa ni? Bagitau la aku.
Aku: Sakit kepala……
Ain: Migrain lagi?
Aku: (angguk)
Ain: Jangan la menangis, nanti lagi sakit. Kau pergi la rehat, malam ni kau tak payah pergi. Stop nangis, pergi rehat and tido…
Lia membentang lapik untuk aku tidur, siap dengan bantal busuk aku sekali…Lepas aku baring dengan esakan tangis yang masih berbaki kerana menanggung sakit, mereka menutup lampu dan menutup pintu. Bagaikan anak kecil, aku tidur pulas.
Jam 12 malam aku terjaga, teringat bahawa aku belum solat isyak. Ema dan Yati yang masih ada di rumah pasti tak mengejutkan aku setelah di’warning’oleh cikgu Ain yang garang itu supaya tidak mengganggu aku yang sedang berehat. Katanya, orang migrain perlu berehat dari kebisingan. Aku terus ke bilik air, membasuh muka dan mengambil wudhuk. Kesakitan yang ditanggung belum hilang, hanya berkurang sahaja. Alhamdulillah…Setelah solat, aku yang tidak berdaya ingin menyambung tidur. Ema yang masih belum tidur mengingatkan aku bahawa ada sebotol ‘revive’ yang mereka beli untuk aku. Memang kebiasaan bagiku untuk minum air isotonik itu apabila sakit menyerang kepala, untuk mengurangkan kesakitan. Kulihat, Ain dan Lia belum pulang ke rumah walaupun telah lewat malam. Argh, biarlah mereka…selesai urusan nanti pasti mereka pulang segera.
Aku terus tidur tanpa sedar bila pulangnya Ain dan Lia ke rumah. Sedar tak sedar, aku terjaga saat Ain memanggil namaku untuk bangun qiamullail. Lemahnya aku saat itu kerana aku bangun hanya untuk solat subuh kerana masih menanggung sakit kepala.
Seusai solat subuh…
Ain: Camne Mas, dah ok?
Aku: Sakit lagi…
Ain: Pergi la jumpe doktor satgi…cam teruk je aku tengok…
Aku: (angguk)
Ain terus bersiap-siap untuk ke sekolah. Kerjanya sebagai cikgu menyebabkan dia terpaksa bertolak ke sekolah seawal 6.30pagi. Aku pula menyambung tidur. Hajat di hati nak ke klinik sebab nak ambil ubat dan MC. Aku mesti ambil cuti untuk kerja hari ni. Sakit kepala sangat ni.
Pukul 8 pagi, aku dah terpacak depan klinik, berharap aku menjadi orang pertama yang dirawat kerana tidak sanggup untuk beratur dan menunggu giliran berjam-jam lamanya. Ema menghantar aku ke klinik dan menuggu bersama aku di sini, sedangkan Yati akan pergi kerja sebelum jam 9 pagi. Semasa sedang menunggu giliran di klinik, aku terserempak dengan bos aku yang juga tak berapa sihat hari ni. Sekadar berbasa-basi, dia meninggalkan aku setelah nombor gilirannya dipanggil. Aku rasa nak pecah kepala menunggu giliran. Tepat jam 9 pagi barulah aku dipanggil untuk menerima rawatan. Nasib baik doktor ni baik dan senyum sahaja. Lega sikit hati aku yang nak marah. Dr. Normala bertanya macam-macam kepada aku untuk mengetahui punca sakit kepala aku. Setiap kali aku datang ke klinik, pasti untuk sakit yang sama. Doktor pun curious dengan penyakit aku. Siap kena warning supaya aku menjaga pemakanan, makan kena ikut time (tak boleh suka-suki dah), jangan skip sarapan pagi…Aku pun angguk sahaja sebab dah memang salah aku. Tapi, aku tak lupa untuk minta MC sebab aku memang dah tak larat nak pergi kerja. Ema cakap, alang-alang ambil cuti, mintak MC untuk 2 hari terus. Tapi, aku tak sampai hati nak minta MC sampai 2 hari sebab aku sakit baru sehari sahaja.
Setelah ubat ku ambil di farmasi, Ema terus menghantar aku pulang ke rumah. Gara-gara menemani aku ke klinik, Ema terlewat untuk pergi kerja. Dia kata dia tak pernah lewat danselalu menjadi orang pertama yang sampai ke tempat kerjanya, maka apa salahnya sekali-sekala lewat. Itupun, bukan sengaja, malah menemankan sahabat sendiri ke klinik kerana sakit. Bos dia pasti memahami niat murninya itu. Dan, Ema tolong menghantar MC aku ke tempat aku bekerja.
Pulang ke rumah, aku makan ubat dulu sebelum menyambung tidur lagi kerana sudah habis semua tenagaku untuk hari ini. Tengah hari baru aku bangun. Makanan tengah hari juga sudah tersedia. Lia yang bekerja mengasuh anak kawan kami, masih sempat memasak untuk aku. Confirm la aku makan tanpa tolong memasak. Aku tak lupa makan ubat sebab aku ingin sihat kembali. Banyak kerjaku yang terbengkalai kerana sakit yang aku alami ini.
Apa sebenarnya yang aku nak cerita di sini? Aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang banyak membantu aku bukan sahaja di saat aku gembira dan sihat, malah sewaktu aku sakit dan tidak berdaya. Aku bersyukur dikurniakan sahabat seperti mereka semua. Tidak satu pun aku mendengar rungutan daripada mulut mereka. Malah, aku yakin tiada juga rungutan di hati mereka. Berukhuwah kerana Allah, yakinlah engkau akan mendapati ia sangat indah. Kesakitan yang aku alami adalah kifarah dosaku yang menggunung tinggi. Allah bagi aku kesakitan ini supaya aku bertaubat atas dosa-dosaku dan bersyukur atas nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga. Aku bersyukur kepadaMu ya Allah atas ujian yang Engkau berikan kepadaku. Moga Engkau redha akan diriku ini ya Allah, ameen ya Rabb.


No comments:
Post a Comment