Photobucket

Friday, July 29, 2011

Moga masih ada sinar iman...

"Allah......." aku mengerang sendiri.

Aku tak dapat membendung lagi kesakitan yang menimpa. Tanganku meraba-raba kepala sebelah kanan, terasa berdenyut-denyut. Terasa ada yang mencucuk-cucuk kepalaku ini. Mata ku pejam erat kerana menahan kesakitan. Rambut dah berbau 'minyak cap kapak' setelah ubat itu ku lumur seluruh bahagian kepala yang sakit. Hanya ubat itu yang ku rasa dapat melegakan sedikit kesakitan itu.

"Ya Allah, seandainya aku melakukan dosa, maka ampunilah aku atas sebab kesakitan ini sebagai kifarah dosaku. Jangan Engkau bebankan aku dengan apa-apa yang tidak mampu aku memikulnya. Kau maafkanlah aku, Kau ampunilah aku dan Kau rahmatilah aku ya Allah, ya Rahman, ya Rahiim,"aku berdoa sepi memohon kebaikan daripada Tuhan yang Maha Agung.

Insan mana yang tidak melakukan kesalahan? Insan mana yang tidak ditimpa ujian? Bukankah semuanya itu menjadikan kita lebih dekat kepada Allah? Bukankah ia menjadikan kita sedar akan dosa maksiat yang sering kita lakukan sehari-hari?

Aku tidak diuji dengan kesakitan yang dialami oleh Nabi Ayub a.s. Beliau ditimpa penyakit yang mengerikan setelah Allah mengujinya dengan kematian anak-anaknya yang ramai dan memufliskan beliau dalam sekelip mata. Isterinya pula lari meninggalkan beliau kerana tidak sanggup menghadapi ujian tersebut.  Bak kata orang, "Sudah jatuh ditimpa tangga..."
Namun, adakah beliau berputus asa dengan rahmat Allah? Tidak sama sekali. Malah, beliau merasa malu untuk meminta kesembuhan daripada Allah kerana merasakan bahawa beliau dapat merasai nikmat yang besar oleh Allah lebih lama daripada penyakit yang dideritainya itu. Beliau tetap redha dengan ujian yang diberikan kepadaNya. Subhanallah...begitu besar kemuliaan dan kesabaran yang Allah berikan kepada seorang Nabi.

Bagaimanalah agaknya reaksi aku jika diuji seperti itu...?

Jika aku melihat kepada sirah Nabi Muhammad SAW, sudah tentu aku berasa bahawa aku berada sangat jauh dari kesabaran yang dikurniakan kepada baginda. Tidak perlu aku ceritakan kesengsaraan dan penderitaan malah penghinaan yang diterima oleh baginda hanya untuk menegakkan kalimah 'Lailahaillallah'...Kesakitan itu pasti lebih besar dan lebih hebat daripada sakit kepala aku yang hanya sedikit cuma.

Kerana apa aku sakit ya?

"Sebab Allah tak sayang kat ko! Ko ni selalu lupakan Dia! Ko asyik kejar study, study, study! Rugi je ko solat awal waktu selama ni...Dia tak sayang kat ko pun..."syaitan mula memainkan peranannya. Mesti syaitan ketawa besar time ni...

"Adakah benar?"hatiku membisik. Resah.

"Mana mungkin itu terjadi wahai Masitah. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia menguji engkau sebagai tanda kasihnya terhadap hamba-hambaNya. Dia ingin agar engkau membersihkan dosa maksiat yang selama ini kau lakukan. Dia ingin agar engkau kembali kepada jalanNya yang mulia..."suara keimanan menyapa dengan tenang ke sanubariku.

"Agrh!!!!! Ko tau ape? Baik ko pergi tido je. Kot la sakit kepala ko tu boleh hilang. Sekarang pun dah pukul 1 tengah hari. Elok la kalau ko nak qailullah. Pukul 4 lebih-lebih nanti ko bangun la, kan nak solat zohor lagi..."syaitan terus membisik pada jiwaku yang kering.

Aku hampir ter'sibghah' dengan bisikan itu. Namun...

"Temuilah jalan penyelesaian dengan bermunajat padaNya wahai jiwa yang tenang. Bacalah Al-Quran dan carilah penawarnya. Dia menantimu hadir padaNya,"suara imanku yang masih berbaki membelai lembut jiwaku ini.

Aku terus berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Aku tak boleh berlengah lagi. Al-Quran ku capai di atas meja setelah aku siap memakai telekung. Ku mulakan bacaan dengan perlahan. Jiwa yang kering itu kurasakan basah disimbah keinsafan. Airmataku gugur saat itu juga. Kepalaku juga tidak merasai lagi kesakitan yang aku tanggung sejak pagi tadi. Bilik yang sempit ku rasakan luas. Angin yang masuk melalui tingkap juga ku rasakan nyaman. Ingin sahaja aku melompat keriangan. Alhamdulillah, syaitan telah berputus asa saat aku mula memahami ayat-ayat Allah yang ku baca ini.

Aku bingkas bangun untuk menunaikan solat setelah azan dari Masjid Malik Al-Khalid sayup-sayup kedengaran di telingaku. Moga masih ada sinar iman...

[Penawar kesakitan dalam & luar]
SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WALAILAHAILLALAH WALLAHUAKBAR~

No comments:

Post a Comment