Photobucket

Tuesday, February 14, 2012

Butakah cinta?


“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
[Surah Al-‘Ankabut ; 29 : 2]


Mechanical pencil diletakkan di atas meja study. Jari jemari terasa lenguh. Menulis sejak pagi hingga tengah hari memang meletihkan. Mata pun dah terasa kabur kerana mengadap laptop dalam masa yang sama. Namun, assignment  tak siap-siap juga.

“Hmmm...” satu keluhan berat terpancul daripada mulut tanpa sedar.

Astaghfirullah...apsal mengeluh ni?” hati kecilnya berkata.

Nadia melunjurkan kakinya ke bawah meja dan meregangkan kedua-dua tangannya ke atas, ke kiri dan ke kanan. Dah macam orang nak memulakan larian marathon je gayanya, tapi versi duduk atas kerusi roda. Kemudian, kedua-dua tangannya itu beralih ke belakang leher yang terasa sengal. Dia mengurut-urut lehernya dengan perlahan namun cukup berkesan hingga terasa di kepala juga.

Alhamdulillah. Dapat siap sikit pun ok la daripada tak siap langsung...” hatinya bermonolog lagi.

Kaki terasa berat nak melangkah ke dapur, namun perut dah memainkan lagu yang agak rancak berbanding tadi. Dikelih matanya ke tepi meja yang menempatkan sebuah jam antik hadiah daripada ibunya, seketika mulutnya berbicara, ”Laaaa...dah pukul 1.20 tengah hari ke? Patut la perut aku ni memainkan lagu keroncong kasih sayang tak berhenti-henti! Baik aku gi geledah dapur dulu...”

“Mana ek semua orang?” hatinya berbicara sepi saat melihat rumahnya kosong tak berpenghuni selain dirinya sendiri. Lantas, tangannya mencapai Samsung Ace yang diletakkan di birai katil , tidak jauh dari mejanya dan...

Slm.ade katne?

Slm.lib la.nape?

Bile ko gi lib ha?yg lain2 mane?xnmpk btg idung sorg pon?

Tah?mane le aku tau.yg ko tu khusyuk sgt wat keje sampai xsdr sume org kuar ni apsal?padan muke ko kene tinggal.

Cis,kau!aku kejar dateline ni.tp td ade je sume org kat sini.

Hah,yang ko msj aku ni nak tanye tu je ke?

Hehe...cam tau2 je.aku lapar la weh...

Ate,gi la mkn!

Korg xtinggalkan mknn utk aku pon?kebulur la aku kat rmh ni sorg2...huu:’(

Hoh,xpayah nak berlakon la!aku pon xmkn lagi ni.lagipun aku dah nk blk.nanti aku bungkus tuk ko skali k.

Hoho...tq.aku tau ko syg kat aku...hehe:-)

Em, ye la...bab membodek bg kat ko kan~

Huhu:-p

Handphone itu dicampaknya ke katil semula. Then, dengan diri dia sekali dicampakkan ke atas katil dan apa lagi, tidur la tu...

------------------------------------------------------------------

Trit titt...Satu message masuk.

“Hoh? Sape la pulak ni!!!” Nadia menggumam rendah sambil mencari-cari letak duduk handphonenya itu.

Slm...

Slm.nape?

Aik,mrh ke?

X la,geram je.nape?

Dah mkn ke?

Blm,tgu housemate belikan mknn.

Xmasak?

Xsmpt,byk keje.awk wtpe?

Tgh mkn.jom~

Erk?

Gurau je.jauh sgt,cmne nak mkn same.

Tau pun.

Ok,slm.

Aik,tu je nak tanye?

Hehe.

Nadia bingkas daripada lenanya setelah mereply message dan mendapati Shira dah berbaring di sebelahnya. Handphone di tangan diletakkan di atas meja.

“Oit makcik! Bangun la...aku lapar ni, apsal tak kejut aku time ko sampai tadi?” Nadia menepuk-nepuk belakang Shira yang tengah lena tidur.

“Aik, tak bergerak langsung ni! Sah tido mati minah ni...” Nadia cuba mengejutkan Shira sekali lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh.

“Hmmm...yang ko gelak-gelak ni pehal? Ngigau ke?” sempat pula Shira membebel dalam mamai.

“Aku ke ko yang ngingau ha?” Nadia menjawab ringkas sambil menarik rambut Shira yang kerinting tu.

“Waduh-waduh, kok bisa ditarikin rambutnya!” Shira menjerit kecil dengan menggunakan loghat Indonesia sambil cuba menarik rambut Nadia pula.

Mereka berkejaran di dalam rumah yang sempit tersebut sambil ketawa. Mereka ni bukan reti nak bergaduh sebab mereka dah anggap masing-masing macam adik-beradik sendiri. Sangat sweet kan?

----------------------------------------------------------------------------

Nadia resah saat membaca terjemahan Hadith ke-27 itu walaupun dia telah menghafalnya sejak seminggu yang lalu. Usrah kali ini membincangkan tentang hadith tersebut. Nadia tersentak saat sahabat usrahnya meminta dia membacakan maksud hadith tersebut. Dia hanya sami’na wa ato’na...

HADITH 27 : KEBAJIKAN DAN DOSA

Maksud hadith:

Dari Nawas bin Sam'an ra. Nabi SAW bersabda, "Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain."
[Hadith Riwayat Muslim]

Dan dari Wabishah bin Ma'bad ra. berkata: Aku datang kepada Rasulullah SAW, beliau bersabda, "Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?" Aku berkata, "Ya." Beliau bersabda, "Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, dan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus mengiyakan dirimu (memberi fatwa ke atas dirimu)."
[Hadith hasan yang kami riwayatkan dari musnad Imam Ahmad bin Hambal dan musnad Imam Ad-Darami dengan sanad hasan]


Limaza ya ukhti?” Huriah bertanya kepadanya.

“Takde ape, ana...” kata-katanya terhenti di situ. Tidak tahu nak meneruskan dengan apa.

“Relax arr...apsal muke cuak je ni?” Huriah kembali bertanya sambil menggenggam lembut tangan kanan Nadia.

Nadia mengangguk seraya tersenyum. Lega sikit di hatinya. Namun, dia sendiri masih tertanya-tanya apakah yang menyebabkan dadanya rasa berdebar-debar saat membacakan hadith tersebut...

-----------------------------------------------------------------
  
Nadia termenung di atas katilnya. Getaran yang dirasai ketika sedang berusrah tadi kembali menerjah fikirannya. Bukan sekali ini dia merasakan perasaan sebegitu. Pelik.

“Aku takut ape ni?” hatinya berbisik sepi.

Nadia berlalu menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Dia mensucikan diri dengan penuh hati-hati.

Di dalam biliknya, sejadah dibentangkan. Telekung dipakai dengan cermat. Nadia berdiri tegak. Pegun tak bergerak. Matanya tertumpu di atas gambar ka’abah di atas sejadah seolah-olah tembus hingga ke lantai.

Allahuakbar,” takbir diangkat. Tidak semena-mena airmatanya mengalir deras. Terdengar esakan tangis yang bukan dibuat-buat saat Surah Al-Fatihah dialun perlahan oleh lidahnya. Hatinya cepat menangkap maksud setiap daripada ayat tersebut.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Segala puji hanya bagiMu, Tuhan sekalian alam.

Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Yang menguasai hari pembalasan.

Saat ini esak tangisnya semakin menjadi-jadi. Badannya menggigil. Hampir sahaja dia rebah di situ namun dikuatkan jasadnya agar dapat meneruskan bacaan dan solatnya.

Hanya kepada Engkau aku menyembah dan hanya kepada Engkau aku mohon pertolongan.

Tunjukilah aku jalan yang lurus.

Iaitu jalan orang-orang yang Kau beri nikmat,

Bukan jalan orang-orang yang Kau murkai,

Dan bukan pula jalan orang yang sesat.

Perkenankanlah.

Surah lazim diteruskan setelah Surah Al-Fatihah tamat. Solat sunat 2 rakaat itu terasa panjang baginya. Airmatanya tidak berhenti mengalir hingga ke sujud yang terakhir. Selama ini dia tak merasakan perasaan seperti ini. Di dalam sujudnya terbayang...

-----------------------------------------------------------------

“Awak nak bawa saya pergi mana ni?” tanya Nadia kepada Hakim.

“Entah?” jawabnya spontan.

“Ish awak ni, cakap la betul-betul...” Nadia merengek perlahan.

“Awak nak pergi mana? Nanti saya bawakan,” jawab Hakim.

Kereta terus bergerak dan membelok ke lorong sebelah kanan.

“Ha, dah sampai ni...Tadaaa!!!” Hakim membuka pintu kereta dan Nadia keluar darinya.

“Pantai? Nape kite gi pantai malam-malam ni awak?” Nadia resah.

“Awak kate awak bosan la, awak stress la...so, pantai adalah tempat terbaik untuk menghilangkan stress kan?” Hakim bertanya kembali.

“Tapi...saya takut la dok pantai malam-malam. Nanti orang tangkap kite camne? Dah la berdua je...” Nadia meluahkan ketidakselesaannya kepada ‘sahabatnya’ itu.

“Alar...kite dok jap je. Awak cite kat saye awak stress sebab ape, then kite balik la, ok?” Hakim terus memujuk. Senyuman lelaki itu berjaya mencairkan hati Nadia yang sedang keresahan.

“Hmm, ye la tu...” Nadia akhirnya akur dengan permintaan Hakim.

Mereka duduk di tepi pantai tersebut hampir 30 minit lamanya. Nadia menceritakan sebab musabab stressnya dan Hakim berusaha memujuknya dengan pelbagai cara termasuklah membuat lawak antarabangsa yang tahapehape tu.

“Ok, jom balik!” tegas Nadia memberi arahan.

“Dah ke? Awak ni...saye rase tak nak balik la. Nak dok sini dengan awak...” Hakim merayu.

“Jangan nak mengada-ngada. Lewat dah ni. Jom la balik awak...Nanti housemate saya syak pulak...” Nadia terus memujuk untuk pulang sambil melangkah ke kereta.

“Ok...ok...jom la sayang...” Hakim menurut kata sambil ketawa.

“Amboih, nak kene ni?” Nadia mencebik sambil menunjuk penumbuknya.
------------------------------------------------------------------------

“Ya Allah...Ujian apakah yang Kau berikan kepadaku sehingga aku perlu melalui pengalaman seperti  itu? Beraninya aku sehingga tega melakukan maksiat di saat aku mencegah orang lain melakukannya? Astaghfirullahal’azim........ampunkan aku ya Allah.....” Nadia menangis sepi di dalam hatinya.

Nadia menyesal bermessage dengan lelaki yang bukan mahram itu hampir setiap hari yang mana dalam sehari pula melebihi daripada 10 message. Mereka mungkin tak mengungkap rasa cinta kerana mereka tidak bercouple, hanya kawan, namun ia tetap perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah.


“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”
[Surah Al-Isra’ ; 17 : 32]

Kalimah istighfar tidak berhenti-henti diucapkannya di dalam hati pada sujud yang terakhir itu. Airmatanya terus-terusan mengalir seolah-olah empangan pecah dan airnya menderu laju. Segala kata taubat menyusul dalam doanya yang kudus. Dia teringat pengisian usrahnya dengan adik-adik 1st year berkenaan dengan menjaga ikhtilat...Kini, dia diuji dengan kata-katanya sendiri...

Setelah memberi salam, Nadia tetap terus berdoa memohon ampun kepada Allah Yang Maha Tahu. Dia tidak mampu untuk mengulang tayang peristiwa tersebut. Dalam keadaan matanya yang terpejam memohon doa, muncul pula satu persatu wajah rakan-rakan usrahnya dengan senyuman yang manis. Hatinya semakin sayu dan tangisnya semakin kuat. Mujurlah semua housematenya telah tidur ketika itu. Allah memberinya peluang untuk berkhalwat denganNya. Suatu kesempatan yang jarang sekali didapati kecuali orang-orang yang dipilihNya.

Malam itu menjadi saksi tangisan taubat seorang insan yang telah tersedar dari ‘lenanya yang panjang’.
----------------------------------------------------------------------------

“Nad...Nad...” telinganya menangkap sebuah suara yang amat dikenalinya.

“Hmmm...” Nadia mengeluh. Dia cuba mencari-cari dari mana datangnya suara itu.

“Nad...bangunlah!!!” jerit Miza di telinga Nadia.

“Hah?” Nadia tersentak. Ingatkan bermimpi, rupa-rupanya Farah...housematenya sendiri. Dia tersengih tanpa sedar.

“Bangunlah, dah subuh ni cik kak...Ko mimpi ape sampai tersengih cam kerang busuk ni? Mimpi jumpe bidadara ke? Ni dah berbungkus dengan telekung ni, kalau kene air liur basi ko tu habislah......” bebel Farah sekali lagi.

Nadia tersenyum dan bingkas dari atas sejadah. Rupa-rupanya dia tertidur setelah puas menangis dalam solatnya setelah pulang dari usrah malam tadi.

“Ha’a...aku jumpe bidadara aku dalam tido tadi. Hensem giler weh, tu yang aku tersengih tu...Kot la bidadara hensem tu terpikat dengan sengihan aku...hehe,” Nadia sempat mengusik.

“Ceh, nampak benor menipunyer...” Farah menggeleng sambil menggoyang-goyangkan tangan kanannya ala-ala Usop Wilcha dalam filem ‘Hantu Kak Limah Balik Kampung’.

Ketawa mereka pecah sebelum Nadia ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Rakan-rakan serumah yang sudah bersiap-siap untuk solat berjemaah turut ketawa melihat gelagat mereka.


“Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar)”
[Surah Al-Isra’ ; 17 : 72]


--------------------------------------TAMAT----------------------------------------

 Kisah ini mungkin terlalu ringkas dan nampak tak rasional. Namun, pasti ada kejadian seakan-akan kisah yang saya ceritakan ini. Ia mungkin nampak biasa-biasa sahaja kerana Nadia dan Hakim hanyalah keluar bersama, mereka tidak melakukan ‘apa-apa’ yang mencurigakan seperti berpeluk, bercium dan sebagainya. SMS mereka juga hanyalah ‘biasa-biasa’ sahaja.

Namun, ketahuilah wahai muslimah sekalian bahawasanya orang-orang yang beriman itu amat sensitif dengan sekecil-kecil dosa. Dia akan berusaha menjauhi dosa-dosa kecil demi menjaga dirinya daripada terjebak dengan dosa yang lebih besar. Syaitan sentisa berusaha mencari peluang untuk menyesatkan setiap anak Adam daripada jalan Allah. Maka, marilah kita memuhasabah diri dan berazam agar berhenti daripada memulakan (atau menyambung) dosa-dosa yang dianggap remeh. Mari sama-sama kita bina cinta terhadap Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada yang lebih hebat cintanya terhadap kita melainkan cinta Allah dan Rasulullah SAW.

Last but not least, saya dedicate lagu ni buat semua yang ingin hatinya bersih daripada dosa dan noda. Mari kita praktikkan seruan dalam nasyid di bawah;

Jagalah Hati

Album : Dari Jakarta Ke Kuala Lumpur
Munsyid : Snada
http://liriknasyid.com
Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya Ilahi

Bila hati kian bersih 
Pikiran pun akan jernih
Semangat hidup nan gigih
Prestasi mudah diraih

Namun bila hati keruh
Batin selalu gemuruh
Seakan di kejar musuh
Dengan Allah kian jauh

Bila hati kian suci 
Ada yang tersakiti
Pribadi menawan hati 
Dirimu disegani

Namun bila hati busuk
Pikiran jahat merasuk
Akhlak kian terpuruk 
Jadi makhluk terkutuk

Bila hati kian lapang
Hidup sempit terasa senang
Walau kesulitan datang
Dihadapi dengan tenang

Tapi bila hati sempit
Segalanya jadi rumit
Terasa terus menghimpit
Lahir batin terasa sakit

Jagalah hati jangan kau kotori
Jagalah hati lentera hidup ini
Jagalah hati jangan kau nodai
Jagalah hati cahaya Illahi


 “.....Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah HATI.”
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

AMBIL TAHU :

Astaghfirullah : Ampunkan aku wahai Allah

Alhamdulillah : Segala puji hanya bagiMu wahai Allah

Allahuakbar : Allah Maha Besar

usrah : keluarga / bulatan gembira

sami’na wa ato’na : aku dengar dan aku taat

ana : saya

limaza ya ukhti? : mengapakah wahai saudara perempuanku? / pasaipa ni?

khalwat : bersendirian

ikhtilat : apa sahaja jenis hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram




No comments:

Post a Comment