Photobucket

Thursday, February 9, 2012

Si kakak comel


"Comelnye kakak tu? Diorang cakap takleh pakai tudung labuh kat sekolah ni, aku tengok kakak tu pakai je?

" Ni aku siap potong bagi pendek je tudung aku ni sebab korang cakap nampak cam besar...korang punye pasal la ni!" rungutku terhadap kawan-kawan sekelas.

Baru sahaja aku menjejakkan kaki ke sekolah menengah yang tiada dalam senarai sekolah rendahku.  Patutnya kami ke SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar, Perak setelah naik ke tingkatan 1, namun kami semua berpindah ke sekolah perempuan, SMK Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar, Perak. Maka, kami ditempatkan di kelas khas, 1 Cermat, kerana tiada kekosongan kelas dan terlebih pelajar. Kami belajar di dalam makmal sehinggalah kelas kami diwujudkan pada dewan lama sekolah itu. Tiada darjat yang sama kerana kami semua dari latar belakang akademik yang berbeza memandangkan kami adalah pelajar tambahan pada tahun 1999 ke sekolah tersebut. Terkenang aku kepada guru kelas kami yang baik hati, Cikgu Raus yang telah melantik aku menjadi ketua kelas.

Aku teruja saat kawan karibku sejak sekolah rendah, Aida, ingin mengambil seorang senior tingkatan 5 sebagai kakak angkatnya di sini, Kak Suraya namanya. Aku juga ingin mencari seorang senior sebagai kakak angkat walaupun aku telah mempunyai 2 orang kakak kandung. Dah jadi trend pulak di sekolah perempuan saling ‘angkat-mengangkat’ antara satu sama lain. Itu lebih baik daripada mengangkat seorang lelaki yang bukan mahram sebagai 'abang'... 

Akhirnya, aku mendapat seorang senior sebagai kakak angkat, padahal ketika aku tingkatan 1, kakak itu tingkatan 5. Aku tak kisah, asalkan aku dapat seorang kakak angkat. Seronok jugak ada kakak angkat ni, ada orang yang menasihati aku dengan penuh kasih sayang. Kalau kakak kandung asyik nak gaduh je kejenye. Aku terus berhubung dengannya melalui surat walaupun setelah dia tamat tingkatan 5 dan menyambung pelajaran. Aku mendapat tahu bahawa dia menjadi 'nurse' di Hospital Taiping setelah terserempak dengannya di stesen bas Kuala Kangsar 4 tahun setelah itu, iaitu semasa aku di tingkatan 5. Masa tu mana ade handphone lagi...Tak macam budak-budak zaman sekarang, umur 4 tahun pun dah pandai gune handphone. Ish...ish...ish...

Setelah aku menyambung pelajaran di matrikulasi dan seterusnya ke UiTM, aku langsung terputus hubungan dengannya. Tambahan pula dia telah berpindah rumah. Namun, jodoh kami masih panjang apabila aku terserempak dengannya di Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar dalam satu ceramah perdana. Ternyata, dia masih mengingatiku sebagaimana aku sentiasa mengingatinya. Dia juga berasa kesal kerana telah menghilangkan nombor telefonku kerana telefonnya dicuri. Aku tak kisah semua tu, namun aku berasa cukup bahagia apabila Allah mempertemukan kami semula.

Selepas saat itu aku selalu menghubunginya dan sentiasa meng'wish' harijadinya setiap tahun. Dia juga selalu bercerita tentang kehidupannya sebagai seorang 'nurse' yang terpaksa bekerja mengikut shift dan selalu juga 'on call'...Macam doktor jugak la keje diorang  ni...payah...

Tahun 2009, dia menelefon aku dan mengundang aku ke majlis pertunangannya...Aku berasa sangat gembira  namun aku tak dapat menghadirkan diri kerana bukanlah ianya berlangsung ketika cuti semester. Tambahan pula, aku sedang bekerja sementara di UiTM Arau, Perlis setelah tamat belajar diploma di sana. Kemudian aku diundang pula ke majlis perkahwinannya beberapa bulan selepas itu. Namun, ia bukanlah hari yang menggembirakan kerana aku sekali lagi tidak dapat hadir kerana aku akan mula mendaftar di USM Penang pada Jun 2009. Tapi, aku tetap hadir menziarahinya sehari sebelum majlis perkahwinannya. Dihadiahkan aku sekeping gambar semasa majlis pertunangannya sebagai tanda ingatan. Dia memang sangat cantik dan berseri-seri.

Setahun di USM, aku pulang ke Kuala Kangsar dan menziarahinya saat dia mendapat seorang bayi yang comel. Dia telah memaklumkan aku tentang kelahirannya bayi sulungnya semasa aku sedang bergelut dengan final exam semester 2. Aku sangat teruja melihat bayinya...Namun, berasa sangat terkejut dan kasihan apabila dia memberitahuku bahawa dia mendapat cuti panjang kerana sakit. Bukan sakit melahirkan, namun dia menghidap leukimia...leukimia tahap akhir... Rambutnya banyak yang gugur dan badannya sangat susut. Tengkuknya bengkak, namun keayuannya masih terserlah. Suaminya bekerja jauh daripada tempat tinggalnya, maka dia tinggal tetap bersama keluarganya. Hanya sekali-sekala barulah suaminya pulang. Hatiku sayu...

29 Mei 2010: Saat ini airmataku jatuh kerana menahan hiba yang teramat sangat...Kakak comel yang bertudung labuh itu telah pergi buat selama-lamanya beberapa bulan yang lalu tanpa pengetahuanku...Patutlah dia tak membalas ‘message’ dan menjawab panggilanku dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Ku kira dia telah melupakanku...Namun, kehendak Allah tidak dapat ditahan dan dihentikan lagi..Aku seolah-olah mendengar tangisan bayinya itu yang sangat merindukan belaian ibu yang hanya sebentar cuma...Ku titipkan doa moga Allah mencucuri rahmatnya dan menemukan kami di syurganya kelak...ameen.

Dedikasi buat Allahyarhamah Suhaila Binti Roplay, 1982-2010.
Aku sangat merinduimu, Kak Sue. Terima kasih atas nasihat dan kasih sayang yang kau curahkan padaku T_T

p/s Hargailah mereka yang masih ada...

No comments:

Post a Comment