Ya Allah, lama sungguh rasanya tidak menjengah blog ini. Baru dua minggu masuk semester baru, jadual saya sudah penuh dengan kuliah, tuisyen dan program-program penting. Makanya, blog ini kesepian sementara...
Dua hari yang lalu, 25 September 2011(ahad), saya telah menghadiri sebuah program tarbiyah yang diberi nama Rehlah Semanis Madu yang diadakan di Taman Perbandaran Pulau Pinang. Lebih daripada 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPT seluruh Pulau Pinang. Semuanya perempuan, tiada lelaki. Objektifnya mudah, iaitu mengenang kembali perjuangan sahabat Nabi sebagai contoh teladan masa kini dan mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswi Islam.
Dalam program tersebut, saya telah dijemput untuk mengisi satu slot pengisian ringkas berkenaan dengan salah seorang Khalifah Ar-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Saya bukanlah seorang yang faqih dalam sirah sahabat, tapi alhamdulillah saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana Allah memilih saya untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu dengan para peserta program tersebut. Feedback yang sangat baik telah diberikan oleh mereka dan sesungguhnya sirah sahabat memang sudah berada dalam genggaman mereka, cumanya mungkin sedikit terlupa.
![]() |
| [Kita ini hamba] |
Kadang-kadang kita terlupa tentang sesuatu yang amat sinonim dengan diri kita sendiri. Kita terlupa bahawa kita ini hambaNya. Hamba kepada Yang Maha Pencipta. Hamba kepada Pemilik alam raya.
Saya bukanlah seorang yang hebat dalam tarbiyah, namun tarbiyah inilah yang telah menjelaskan halatuju hidup saya sekarang yang dulunya kabur kerana banyaknya dosa. Bukan sekarang saya ini suci daripada dosa, namun kini saya dapat merasai kesan dosa yang telah saya lakukan sehingga menyebabkan saya berusaha memusabahkan diri sendiri pada bila-bila masa sahaja. Cantiknya tarbiyah Allah. HambaNya selalu melakukan dosa, namun Dia lebih suka untuk memaafkan mereka yang bertaubat atas dosa-dosanya. Seperti dalam tafsir surah Al-Haqqah ayat 20; ada sebahagian hambaNya yang menerima buku catatan amal pada tangan kanannya dan tidak menyangka bahawa dia menerima kenikmatan syurga sedangkan dia tahu bahawa dia banyak melakukan dosa semasa hayatnya. Allah boleh mengenakan balasan buruk disebabkan kesalahan hambaNya, namun Dia lebih cenderung memberi keampunan atas kasih sayangNya itu...
Kerana kita ini hambaNya...SUBHANALLAH~
Rujukan: Tafsir Al-Munir; Wahbah Al-Zuhaili


No comments:
Post a Comment