Hari ni saya rajin nak menaip sebab esok saya dah nak balik Penang. Balik Penang ertinya saya tidak dapat lagi nak bermanja-manja dengan blog ini sesuka hati sebab banyak kerja sedang menanti di sana.
Dua hari yang lepas iaitu 4 September 2011 bersamaan 6 Syawal 1432H, saya telah bertekad untuk menziarahi rumah arwah kakak angkat saya untuk bertanya kepada ibunya dimanakah pusara arwah. Wajah arwah yang selalu hadir dalam minda saya pada Ramadhan kali ini menyebabkan saya berusaha juga untuk pergi mencari lokasi sebenar pusara arwah. Sebenarnya, arwah telah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, namun hujung tahun lalu baru saya mengetahui bahawa arwah telah meninggal dunia melalui rakan baiknya di facebook. Saya sendiri tidak terfikir untuk mencari alamat facebook arwah sebelum itu.
· · See Friendship · December 28, 2010 at 9:29pm ·
Saya masih menyimpan nombor telefon arwah walaupun saya tahu arwah telah meninggal dunia (saya tak sampai hati nak delete nombor fon arwah). Maka, saya cuba menghubungi nombor telefon arwah dengan harapan ada di antara ahli keluarganya (atau suaminya) yang masih memakai nombor tersebut walaupun pada awalnya saya nak redah terus ke rumahnya tanpa telefon terlebih dahulu (kerana saya tiada nombor telefon rumahnya). Alhamdulillah, panggilan saya disambut oleh kakak arwah dan meminta saya menelefon ibunya untuk bertanyakan lokasi sebenar pusara arwah. Namun akhirnya ibu arwah yang menelefon saya setelah saya gagal menghubungi telefon bimbitnya. Beliau memberitahu agar saya tunggu di kawasan perkuburan berkenaan dan dia akan datang untuk menunjukkan lokasi pusara arwah.
6.10 petang
Saya sampai di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar dengan menunggang motosikal kakak ipar. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta di hujung kawasan perkuburan tersebut. Rupa-rupanya, ibu arwah sudah sampai dengan 2 buah kereta putih(cam cerita hantu pulak...). Beliau memanggil saya kesana kerana saya mem'parking' motor agak jauh darinya. Beliau datang bersama 2 orang anak lelakinya. Setelah bersalaman dengan ibu arwah, beliau memeluk saya dan menarik saya ke lokasi pusara arwah yang terletak agak dalam dan hujung kawasan perkuburan tersebut. Saya tidak dapat menahan sebak di hadapan pusara arwah saat melihat namanya yang tercatat di batu nisan yang sudah kotor. Ibunya menangis teresak-esak di samping saya. Setelah tangisan kami reda, kami beredar ke tempat parking.
Dipendekkan cerita, saya mengekori kereta ibu arwah untuk menziarahi rumah yang pernah didiami oleh arwah setelah dipelawa oleh ibunya. Saya pernah ke rumah tersebut 2 kali sebelum arwah meninggal dunia. Yang pertama adalah sehari sebelum arwah melangsungkan perkahwinan (kerana esoknya saya perlu pulang ke universiti), dan kali terakhir adalah setelah beberapa hari arwah melahirkan seorang mujahid sulungnya yang sangat comel(April 2010). Waktu itu, arwah memberitahu bahawa dia menghidapi penyakit Leukimia tahap akhir kerana saya melihat lehernya membengkak. Namun, saya tidak menyangka bahawa itu adalah pertemuan terakhir saya dengan arwah dan anaknya.
Kesibukan saya di universiti menyebabkan saya jarang dapat meluangkan masa untuk menghubungi arwah yang saya sangkakan telah aktif bekerja semula sebagai seorang jururawat di Hospital Taiping. Ini kerana sebelum ini arwah adalah jururawat yang amat dedicated dengan tugasannya dan busy 24 jam. Maklumlah, tugas seorang jururawat tak kurang hebatnya seperti seorang doktor. Saya pernah menghubungi telefon bimbitnya beberapa kali pada hujung tahun lalu namun tidak berjawab dan message juga tak berbalas. Pastinya saya tidak berkecil hati kerana saya tahu arwah sangat sibuk. Apatah lagi, kesibukan saya untuk menghadapi final exam juga menyebabkan saya tidak sempat untuk bertandang ke rumahnya pada aidilfitri tahun itu. Maka, saya terlepas satu berita penting pada tahun lalu iaitu kakak kesayangan saya telah kembali ke Rahmatullah pada 17 Ogos 2010.
Berbalik kepada cerita di rumah ibu arwah tadi...Saya sempat juga bersembang-sembang dengan beliau tentang kehidupan dan peribadi arwah semasa hayatnya masih ada. Saya juga bercerita bagaimana petemuan saya dengan arwah semasa di sekolah menengah 12 tahun yang lalu. Pernah lost contact beberapa tahun, tetapi akhirnya Allah mempertemukan kami semula di Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar beberapa tahun yang lepas. Beliau berasa terharu kerana saya masih nak menziarahi arwah walaupun anaknya itu sudah meninggal dunia. Beliau berharap agar saya tidak putus hubungan dengannya dan menganggap saya sebagai pengganti arwah. Subhanallah, pemergian arwah tidak mengurangkan bilangan orang yang saya kasihi, malah Allah telah menambahnya dengan menghadiahkan saya sebuah keluarga lagi untuk dikasihi.
![]() |
| [Keluarga Allahyarhamah Suhaila binti Roplay, arwah adalah yang bercermin mata] |
Kini, hati saya lebih tenang kerana setelah beberapa bulan pemergian arwah akhirnya saya bisa menziarahi pusara arwah serta bertemu dengan keluarganya. Cuma saya berasa agak terkilan kerana saya tidak dapat berjumpa dengan anak arwah kerana diasuh oleh suami arwah di Johor.
![]() |
| [Azim, anak tunggal arwah yang sekarang ini sudah berusia 1 tahun 3 bulan] |
Doa saya agar Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Ameen Ya Rabb.
Sesungguhnya saya amat merindui Kak Sue~



Mudah2an dipanjangkan silaturahim hingga ke akhir hayat. Ini la cara dan tuntutan kita org Islam, mendekati keluarga atau kawan arwah agar roh arwah sentiasa dlm keberkatan Allah.
ReplyDeletePak Lang Su- Adanan
AL-FATIHAH... Mudah-mudahan roh arwah dicucuri Rahmat & di ampun segala- dosa-dosa nya...Insya Allah... Amin
ReplyDeleteTerima kasih Pak Lang...insyaAllah, moga2 silaturrahim saya & keluarga arwah berkekalan & diredhai Allah hingga ke akhirnya, ameen.
ReplyDeleteSyukran mr.amer atas doanya~
ReplyDelete